Oleh Jack Norris, Pengarah Eksekutif
Di saat awal menjadi seorang vegan, ia agak sukar untuk menyangka respons dari teman-teman dan keluarga anda. Berbekalkan pemahaman baru tentang bagaimana buruknya haiwan dilayan di dalam penternakan moden, semangat anda berkobar-kobar untuk berkongsi dengan mereka agar mereka juga bersama-sama anda untuk menghentikan penderitaan tersebut.
Jika bernasib baik, ada ahli keluarga dan teman-teman yang akan menyokong keputusan anda untuk tidak memakan haiwan – mungkin ada yang akan mengikuti jejak langkah anda! Tetapi mungkin akan ada juga ahli keluarga yang akan melihat gaya hidup vegan sebagai satu penghinaan terhadap gaya hidup mereka, pegangan agama ataupun memori hidup bersama ahli keluarga lain yang pernah memburu dan menangkap ikan dan kini telah pun meninggal dunia.
Di dalam kes sebegini, agak sukar untuk tahu apa yang patut dikatakan. Memaksa orang lain melakukan sesuatu selalunya akan membuat mereka menentang, khasnya dalam kalangan ahli keluarga. Oleh itu, ramai golongan vegan akhirnya memilih untuk menunjukkan contoh teladan dan menanti sahaja ahli keluarga dan teman-teman sendiri bertanya tentang sesuatu isu.
Bahan-bahan Dari Haiwan vs Berbuat Yang Terbaik

Semasa mula menjadi seorang vegan, ia perkara biasa merasakan perlu untuk membuktikan kepada teman-teman dan keluarga bahawa tidak mustahil untuk hidup tanpa menggunakan produk haiwan.
Ia penting untuk menyedari bahwa etika vegan ialah satu perkembangan terkini dan walaupun di dalam sejarah ketamadunan manusia terdapat golongan yang mengajar manusia berbuat baik terhadap haiwan, namun tiada golongan masyarakat yang benar-benar vegan. Ini disebabkan oleh kerana sejarah kita menggunakan haiwan, anggota badan mereka menjadi sebahagian daripada produk di sekeliling kita dan menolak bahan daripada haiwan merupakan satu bebanan besar yang tidak realistik untuk dilaksanakan.
Pada waktu ini, ia tidak penting untuk seseorang individu hidup 100% bebas produk haiwan tetapi langkah yang lebih penting ialah mengajak masyarakat beralih daripada produk haiwan. Terdapat hujah kuat mengatakan bahawa untuk menjadi seorang vegan yang “sempurna”, kita perlu menjadi 99% vegan dan menggunakan lebihan masa dan tenaga emosi untuk menginspirasikan orang lain berubah menjadi vegan.
Tambahan pula, bertenggang demi menjadi vegan 100% hanya menjejaskan keupayaan anda untuk mempengaruhi orang lain kerana ia menjadikan veganisme tampak sukar di mata mereka. Satu cara membuka pintu hati orang untuk memulakan langkah menjadi vegan ialah dengan menunjukkan bahawa menghindari produk haiwan tidak seharusnya menjadi kondisi sepenuhnya atau tidak sama sekali.
Beberapa cara praktikal untuk melakukannya:
- Makan makanan yang jelas vegan ketika bersama keluarga dan teman-teman di restoran tanpa bertanya pekerja tentang bahan-bahan yang mungkin tersembunyi.
- Jika ada yang berkata,”saya tidak boleh menjadi vegan kerana saya tak mampu menghindari daging ayam”, maka galakkan dia menyisihkan produk-produk haiwan yang lain.
- Jika seseorang berpatah balik, janganlah berputus arang dengannya. Setiap hari merupakan hari baru untuk seseorang berbuat yang terbaik bagi menghentikan penderitaan haiwan!
Terdapat sesetengah penyokong vegan berkata bahawa penting bagi menyampaikan mesej secara konsisten tentang tanggungjawab moral manusia terhadap haiwan dan adalah salah menggunakan produk haiwan di dalam sebarang keadaan. Berdasarkan pengalaman kami, kefleksibelan terhadap isu ini mendatangkan lebih banyak kebaikan di dalam membantu masyarakat menghadapi hari di mana tiada lagi eksploitasi terhadap haiwan.
Ingat Perjalanan Anda Sendiri

Kadang kala setelah menjadi seorang vegan, mereka sukar memahami kenapa orang lain tidak. Setelah kita menyedari akan penderitaan haiwan, kadang kala sukar untuk kita renung kembali bahawa kita juga pernah tidak menyedarinya dan terkadang kita juga tidak pernah ambil tahu.
Merenungi perjalanan sendiri menjadi seorang vegan menjadikan kita lambat menghukum dan lebih cepat untuk memahami dan mendekati golongan bukan vegan. Tiada manusia yang sempurna. Jika matlamat kita ialah untuk mengurangkan penderitaan haiwan, maka kita harus sentiasa merendah diri apabila berhadapan dengan golongan yang ingin kita dorong untuk berubah.
Stereotaip Seorang Vegan Yang Pemarah

Golongan vegan berhak untuk marah dengan cara haiwan dilayan. Kemarahan dan keterdesakan boleh menjadi faktor motivasi untuk kita menyokong haiwan. Namun ia juga penting untuk menyedari bahawa golongan bukan vegan hanya akan ingin menjadi vegan jika mereka dapat mengaitkannya dengan kegembiraan berbanding kemarahan. Atas alasan ini, makanya tentu lebih baik menzahirkan saja rasa gembira dan kepuasan yang kita rasai di dalam menjadikan dunia penuh belas kasihan.
Media sosial

Soalan lazim pada hari ini ialah berapa kekerapan menulis hantaran tentang isu haiwan di Facebook dan lain-lain media sosial. Media sosial merupakan cara hebat untuk menyebarkan maklumat tentang apa yang terjadi kepada haiwan. Namun jika anda menulis terlalu kerap, teman-teman mungkin akan menjauhi anda. Awasi kemungkinan ini dan gunakan hantaran tulisan anda secara strategik, cukup untuk menarik minat mereka secara tidak keterlaluan. Mencampurkan konten seperti memasukkan hantaran positif tentang veganisme seperti video menarik tentang haiwan ternakan dan resipi baru vegan yang enak, mungkin dapat membantu.
Bila Waktunya Mendesak Boleh Membantu

Ada satu pengecualian kepada peraturan menunjukan contoh teladan berbanding memaksa – iaitu apabila seseorang mengecam anda kerana menjadi seorang vegan. Anda boleh membenam ini pada peringkat awal dengan cara cuba merubah mereka secara aktif. Apabila mereka menyukarkan anda, respons dengan meminta mereka menonton video serta membaca risalah, buku dan artikel. Selepas melakukan ini beberapa kali, ada kebarangkalian mereka akan mengelak dari mengungkit subjek ini.
Kesimpulan

Fahami bahawa veganisme secara relatifnya merupakan satu fenomena baru dan hanya sedikit dari mereka yang lahir sebagai vegan yang boleh menunjukkan ehsan ketika berharap orang lain dapat melihat dari sudut pandangan kita. Menjadi contoh teladan positif buat keluarga dan teman-teman dan pada masa sama memberikan contoh teladan yang senang dicapai sudah cukup baik. Jika anda ingin membuat impak lebih besar terhadap orang lain, jadilah sukarelawan dan penyumbang kepada Vegan Outreach!